18 September 2009

Hari raya Idul Fitri atau Lebaran tahun 1430 H ^_^

Ketika ramadhan telah lepas

Tiada dzikir yang lebih pantas

Selain takbir bagi pemilik ‘Arsy.

Ketika takbir telah bergema

Tiada yang lebih bermakna

Selain pintu maaf yang dibuka.

Selamat lebaran, semoga diterima amalan,

yang ikhlas dilakukan, selama Ramadhan.

30 August 2009

TAZKIRAH KHAS RAMADHAN - dari shukur.com

SIRI 4 : BERBUKA PUASA

"Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka." -HR Bukhari Muslim

Tiada yang lebih dinantikan selama waktu berpuasa sepanjang siang melainkan waktu berbuka puasa. Apabila tiba Maghrib, maka muslimin yang berpuasa disunatkan agar menyegerakan berbuka lantaran ganjaran pahala yang lebih banyak daripada mereka yang menunda waktu berbuka.Rasulullah SAW juga menyeru umatnya agar tidak tergesa-gesa ketika berbuka puasa. Makanlah dengan sewajarnya namun janganlah pula sehingga habis waktu untuk menunaikan solat Maghrib. Ini sejajar dengan sabda Baginda yang bermaksud:

"Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu." -HR Bukhari Muslim

Mendahului berbuka dengan memperbanyakkan doa adalah suatu yang dituntut kerana Allah SWT telah berjanji akan mengabulkan doa mereka yang berpuasa. Sebaiknya hendaklah doa yang meminta supaya diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan pada masa lalu. Doa ini bukan sahaja dituntut ketika hendak berbuka puasa wajib tetapi juga ketika berpuasa sunat.

Terdapat beberapa doa pilihan yang boleh dijadikan pedoman ketika berbuka, iaitu:·

- "Allahumma laka shumtu wa 'alaa rizqika afthartu." (Ya Allah, demi Engkau, aku puasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka)

- "Alhamdulillahiladzi a'aanani fashumtu wa razaqani fa afthartu." (Segala puji bagi Allah, tuhan yang menolongku, sehingga aku (sanggup) berpuasa dan memberiku rezeki, sehingga aku (dapat) berbuka)

- "Allahumma laka shumnaa wa 'alaa rizqika aftharnaa, fa taqabbal minnaa innaka antas samiiul 'aliim." (Ya Allah, demi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka, maka terimalah (puasa) dari kami. Sesungguhnya Engkau benar-benar Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)

- "Allahumma inni as 'aluka bi rahmatikallati wasi'at kulla syai'in antaghfiralii." (Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang luasnya meliputi segenap (makhluk) agar Engkau mengampuni diriku)

Walau bagaimanapun, menurut Imam Nawawi dalam Kitab Al-Azkar, doa-doa berbuka puasa tiada yang sahih. Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap individu boleh berdoa apa sahaja sesuai dengan keinginan mereka. Namun sebagai manusia biasa, adakalanya doa yang dipanjatkan tidak dimakbulkan Allah SWT. Jika hal ini berlaku maka kita hendaklah mengkaji di mana kesilapan kita. Mungkin juga makanan atau minuman yang kita ambil datang daripada sumber yang tidak sah kerana salah satu syarat supaya doa kita dimakbulkan ialah sumber makanan kita haruslah daripada sumber yang halal.

Bukan sahaja dari segi makan minum harian, malah kita sepatutnya lebih teliti dalam melakukan dan memperkatakan apa jua perkara, termasuklah dalam urusan yang kita anggap sebagai kecil dan remeh-temeh. Masalah tidak akan timbul jika kita menyelesaikan perkara yang kecil terlebih dahulu sebelum ianya menjadi lebih besar.

Selamat berbuka dan wassalam.

28 August 2009

TAZKIRAH KHAS RAMADHAN - dari shukur.com

SIRI 3 : KELEBIHAN SAHUR & TAMAR

“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” -HR Bukhari dan Muslim

Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.


Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka? Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.

Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.

Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:
~ Menuruti sunnah;
~ Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
~ Menambah kekuatan untuk beribadat;
~ Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
~ Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
~ Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.

Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.

Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi

Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.

Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

Selamat bersahur dan wassalam.

22 August 2009

TAWARAN HEBAT ^_^