07 November 2010

Everything's 34~

SELAMAT HARI LAHIR~


Sayidina Ali:
“Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga.”

Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa-sisa kegembiraan yang masih tersisa. Apakah kita masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu.



Teringat pula kata Imam Ghazali:

“Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekan.”

Ya, esok (08 november ) ulang tahun kelahiran Noor Hana Binti Ibrahim(aku). Sudah hampir separuh abad aku bernaung di bawah langit-Mu ya Allah. Belum pun aku terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi… semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi… selamat pulakah hari matiku?

Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya, Allah… segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?


Ya, Allah di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gejolak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua, tiga dan… Ya, Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini.

Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiahtul Adawiyah yang sentiasa berkata:

“Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.”

Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku keras amat. Kucuba menangis dengan merasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ‘hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah.

Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ‘dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap-harap, minta-minta diampuni.

Buat sahabat, teman dan kenalan… terimakasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini, (mungkin ini pun masih dari terowong jiwaku yang gelap gelita.)…


“Marilah kita hidup… seperti orang yang menanti mati, kerana ingat mati itu… akan mengecilkan segala derita, akan mencairkan segala alpa, kiranya inilah detik terakhir, marilah kita mulakan semula walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma… itu lebih bermakna!”


Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu di tempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:

"In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning…"


Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin Ya Allah!



p/s: entry ulangan pada 7nov2009.. moga ia menjadi iktibar dan pemangkin semangatku serta sahabat-sahabat2 sekalian, syukron uhibbu~ bergenang air mataku tatkala menghayati kata-kata diatas..



Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa yang pernah hambaMu ini lakukan secara nyata mahupun tersirat.. sesungguhnya dosa-dosaku ini ibarat seluas lautan dan setinggi gunung milikMu Ya Allah.. Kau panjangkanlah usiaku agar dapat ku terus bertaubat serta beribadah kepadaMu, berilah aku peluang untuk menjadi dan merasa hamba kepadaMu Ya Allah.. Ya Allah, jangan Kau biarkan aku leka dengan urusan duniawi ku, aku semakin jauh denganMu Ya Allah.. pimpinlah aku seadanya, bawalah aku untuk mengenali dan mencintaiMu lebih daripada segalanya.. berilah aku perasaan itu Ya Allah.. berikan kepadaku Ya Allah.. aku ingin merasainya walaupun hanya sekali sebelum Kau memanggilku.. degarlah luahan hati kecilku ini Ya Allah..

Sudah hampir 24thn aku berpijak di muka bumi Mu Ya Allah.. tapi, tak pernah sekali pun aku merasai seperti hambaMu yang lain.. Ya Allah, pupuklah diri ku ini perasaan TAKUT, CINTA dan RINDU pada Mu Ya Allah.. amin..


~Islamic_Muslimah@ThEfLaSh~

No comments: